CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, February 2, 2009

khabar dari GAZA


Khabar dari Gaza: Peluk 2 adik kesejukan





ERTI peperangan terlalu kejam bagi empat beradik yang masih kanak-kanak apabila terpaksa menadah tangan meminta sedekah dan simpati orang ramai bagi mendapatkan makanan selepas kematian ibu bapa mereka yang terkorban ketika dibedil roket tentera Israel, sebulan lalu. Semua adik-beradik berkenaan yang berusia dua hingga 10 tahun itu kini hanya mampu duduk di kaki lima pagar hadapan Hospital Al-Sifa’ sambil menadah tangan kepada orang ramai yang keluar masuk ke bangunan berkenaan. Lebih menyedihkan apabila empat beradik itu yang berpakaian compang-camping dilihat kelaparan sambil memeluk erat adik mereka berusia dua tahun yang menangis kesejukan. Mangsa, Basma Hussin, 10, yang ditemui Wartawan Harian Metro berkata, ibu bapanya, Hussin dan Fatma mati selepas dibedil kereta kebal Israel yang memusnahkan kawasan ladang zaitun dan limau di Khanyunis, selatan Gaza.
Menurutnya, mayat ibu bapanya ditemui penduduk kampung dalam keadaan berlumuran darah sebelum dikebumi beramai-ramai bersama puluhan mangsa lain yang terkorban.
“Sejak kejadian itu, saya terpaksa menjaga tiga adik lain, Rami, 2, Salleh, 3, dan Asmah, 6, yang selalu lapar dan minta makanan. “Semua orang dalam kesusahan dan saya tidak mahu menyusahkan pak cik dan mak cik (jiran). Setiap pagi saya akan bawa adik ke kota Gaza dan meminta sedekah daripada orang ramai bagi mengalas perut mereka,” katanya dalam keadaan sedikit ketakutan. Menurutnya, ramai peniaga yang simpati akan menghulurkan roti atau buah-buahan kepada mereka termasuk beberapa kakitangan sukarelawan yang ditemui memasuki hospital berkenaan. “Makanan ini cukup untuk mengisi perut tiga adik saya terutama Rami yang kerap menangis pada waktu malam,” katanya sambil mendukung Rami di pinggang.Sementara itu, Wartawan Harian Metro dan jurugambar yang simpati terhadap nasib empat beradik berkenaan segera menghulurkan lima bungkusan nasi berlauk ayam selain sedikit wang saku. Keikhlasan wartawan memberi makanan itu, menyebabkan Basma tersenyum girang sambil mengagihkan bungkusan nasi terbabit kepada tiga adiknya yang menunggu kelaparan. Sambil segera menyuapkan nasi berkenaan ke mulut Rami, Basma sempat bertanya sama ada kami akan datang lagi ke hospital itu esok. Kasih sayang Basma terhadap tiga adiknya jelas terpamer apabila dia yang juga tidak makan dari pagi terlebih dahulu melayan Rami dan Salleh menjamah makanan sambil sesekali mengesat sisa nasi di mulut adiknya itu. Pada masa sama, mata Basma turut memerhati beratus-ratus pelajar sekolah yang keluar meninggalkan pekarangan sekolah bersebelahan Hospital Al-Sifa’ selepas sesi persekolahan penggal baru di Gaza bermula sejak Sabtu lalu. Derita dialami empat beradik berkenaan turut dikongsi beratus-ratus lagi kanak-kanak malang lain di Bandar Gaza apabila kumpulan kanak-kanak malang ini akan berpusu-pusu jika ada individu yang ingin memberikan sumbangan makanan. Malah wartawan New Straits Times, Marc Ferdinand Joseph Lourdes turut ‘diserang’ lebih 50 kanak-kanak yang kelaparan selepas dia cuba mengagih-agihkan coklat dan buah-buahan berhampiran Masjid Al-Syahid, di sini. Kejadian itu dianggap senario biasa oleh penduduk tempatan berikutan kebanyakan kanak-kanak ini yang menjadi yatim atau piatu tidak mendapat makanan secukupnya sejak Israel memulakan peperangan, 18 Disemberl lalu. Walaupun Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) memberikan bantuan makanan dan persekolahan terutama di Kem Pelarian Jebaliya namun masih ramai kanak-kanak malang lain yang terus melarat di jalanan.
p/s : sedey nya melihat kesengsaraan mereka....ramai kanak2 yg jadi yatim piatu..mcm mana la nasib mereka nnt....
tiba2 teringat anak aku yg berumur baru setahun lebey tuh..yg masih lagi manja2, comel2...... kawan2 yg sebaya dgn dia yg kat gaza tu, dah kena berdikari tuk cari makanan sndiri...

0 comments: